Hukum Solat Sunat Hajat
Hajat ertinya: Kehendak atau keperluan
Solat Sunat Hajat : Solat sunat yang dilakukan oleh
seseorang hamba untuk menyatakan kehendak, keinginan atau keperluannya kepada
Allah subahanahu wa ta'ala. Para ulama mentakrifkan bahawa yang dikatakan Solat
Sunat Hajat ialah solat sunat yang dikerjakan sebanyak 2 rakaat kerana sesuatu
hajat kepada Allah Ta'ala baik urusan dunia mahupun akhirat.
Hukum : Sunat
Dalil : Sabda Rasulullah yang bererti :
Barangsiapa yang ada baginya hajat kepada Allah ta'ala atau
kepada anak Adam, hendaklah dia berwudhuk dengan baik, kemudian solat 2 rakaat,
kemudian memuji Allah dan berselawat kepada rasulNya, selanjutnya hendaklah dia
membaca doa :
لا إله إلا الله
الحكيم الكريم, سبحن الله
رب العرش العظيم, الحمدلله
رب العلمينو أسألك موجبات رحمتك
وعزائم مغفرتك والغنيمة من
كل بر والسلامة من
كل إثم لا تدع
لي ذنبا إلا غفرته
ولا هما إلا فرجته
ولا حاجة هي لك
رضا إلا قضيتها يا
أرحم الرحمين
ertinya : Tiada Tuhan melainkan Allah, yang Maha Lemah
Lembut dan maha Mulia. Maha Suci Allah Penguasa Arasy Yang Maha Agung. Segala
puji Allah, Tuhan seru sekalian alam. Ya Allah! Sesungguhnya aku bermohon
kepadaMu untuk memperolehi rahmatMu, mengharapkan keampunanMu, memperolehi
keuntungan dari segala kebajikan dan kesejahteraan dari segala dosa. Janganlah
engkau tinggalkan bagiku suatu dosapun kecuali Engkau ampuni, dan tidak pula
suatu kesempitan kecuali Engkau lapangkan, dan tidak pula suatu hajat yang
Engkau redhai kecuali Engkau tunaikan. Wahai Tuhan yang Maha Pengasih daripada
segala yang pengasih. Selanjutnya mintalah atau kemukakanlah hajat yang engkau
ingini, baik urusan dunia mahupun akhirat.
(Diriwayatkan oleh al Turmudzi dan Ibnu majah dari Abdullah
bin Aufa radiyaLlahu 'anhu. Menurut al Turmudzi isnad dan perawi hadith ini
menjadi perbincangan di kalangan ahli hadith)
Imam al Ghazali mengatakan bahawa solat Hajat adalah
termasuk ke dalam golongan Solat Nafilah. Barangsiapa yang merasa terdesak
dalam sesuatu urusan ataupun merasa perlu dalam urusan dunia atau agamanya,
atau agar dia dilepaskan daripada kesempitan, hendaklah dia mengerjakan Solat
Sunat Hajat ini.
Sehubungan dengan solat sunat Hajat ini, Imam al Syaukani
mengatakan bahawa dalam sanadnya terdapat seorang rawi yang bernama Faid bin
Abd al Rahman bin Waraqa', orang ini lemah riwayatnya. Manakala Imam al
Turmudzi mengatakan, bahawa hadith mengenai solat sunat hajat ini adalah hadith
Gharib dan Faid adalah orang yang lemah dalam bidang hadith. Sedangkan Imam
Ahmad pula mengatakan bahawa Faid adalah seorang rawi yang matruk (ditinggalkan
riwayatnya). Ibnu Arabi pula mengatakan bahawa hadith mengenai Solat Sunat
Hajat ini adalah lemah.
Bagaimanapun, dalam amalan-amalan sunat kita dibenarkan
mengamalkan hadith lemah, tambahan lagi kalau hadith itu disokong oleh hadith
lain, sebagaimana hadith mengenai solat sunat Hajat ini disokong oleh sebuah
hadith yang diriwayatkan oleh Imam al Turmudzi dari Uthman bin Hunaif dan
beliau mengatakan bahawa darjat dari Uthman ini ialah Hasan Sahih. Selain itu
terdapat pula sebuah sabda Rasulullah sallaLlahu 'alaihi wasallam yang bererti
:
Barangsiapa yang berwudhuk dan menyempurnakan wudhuknya,
kemudian melakukan solat dua rakaat dengan sempurna. Maka akan diberi oleh
Allah apa-apa yang dimintanya baik segera atau lambat
(Diriwayatkan oleh Ahmad dengan sanad sahih dari Abu al
Darda' radiyaLlahu 'anhu)
Sumber : Ibnu Muhammad el Fandhani, Panduan Solat-solat
Sunat Berdasarkan Sunnah RasuluLlah sallaLlahu 'alaihi wasallam,
No comments:
Post a Comment